Monday, August 24, 2009

Imuniti Iman tercabul kerana H1N1?

Serangan wabak H1N1 menjadi polemik seantero dunia, telah menjadi tabiat sesetengah manusia, cepat melatah apabila penularannya membawa maut dan amat sukar membendungnya. Pelbagai langkah yang dikatakan proaktif telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam menangani serangan wabak ini, namun natijahnya kematian dan jangkitan wabak semakin ketara meningkat di seluruh pelosok negara.

Hal semacam ini menggamit sejuta reaksi dikalangan masyarakat dalam melihat kredibiliti kerajaan membendungnya. Sesetengah berpendapat, kerajaan hanya mengambil langkah pemantauan sahaja dan bukan pemeriksaan menyeluruh di pintu-pintu masuk imigresen dan perhubungan domestik serta antarabangsa.

Jangkitan virus ini lebih tertumpu kepada tempat-tempat awam dan keraian. Malahan institusi pendidikan lebih banyak terkena kesannya. Menjadi persoalan, mengapa institusi pendidikan seperti sekolah dan IPTA lebih teruk kesannya berbanding dengan sektor perlancongan dan perkilangan? Ini satu persoalan yang sukar untuk dirungkaikan jawapannya. Apatah lagi retetan ini menyerlah selepas pemansuhan PPMSI. Biarlah persoalan ini terus menjadi tanda tanya sehingga ada yang sudi menjawabnya.

Tambahan pula, rakyat Malaysia lebih terdedah apabila menghadiri konsert hiburan dan amalan kebersihan yang tidak sempurna. Penulisan kali ini bukan bertujuan menyelosori soal jangkitan dan kesannya kepada sistem imuniti badan manusia, tetapi lebih kepada efek yang cukup jelas terhadap imuniti iman seseorang Muslim dalam mendepani situasi ini.


Serangan virus tehadap Iman

Iman adalah persoalan pokok dalam menentukan ketulenan kepercayaan seseorang Muslim. Benar jika dikatakan ukuran Iman itu mustahil untuk diukur berdasarkan karakter luarannya sahaja kerana soal hati adalah hak penilaian Tuhan. Namun, apakah iman yang kurang mantap dapat mencerminkan karakter peribadi yang luhur, dan sebaliknya? Saya bukan ahli agamawan mahupun golongan yang berautoriti dalam menentukan tahap Iman seseorang, tetapi saya berpegang pada satu prinsip, jika seseorang itu beriman dengan sebenar-benarnya, cukup segala syarat-syarat iman tersebut, padanya akan lahir sebuah karakter yang luhur, fikrah pemikiran yang islamik dan gerak laku yang menuruti syariat.

Berbalik pada persoalan tadi, serangan virus terhadap Iman lebih cenderung melalui pemikiran dan mentaliti Muslim. Masakan tidak, latahnya masyarakat apabila serangan virus ini boleh membawa maut tanpa ada simpton-simpton yang kurang jelas. Simpton awal jangkitan biasanya dizahirkan dengan demam, batuk dan selesema. Tiga serangkai ini kebiasaannya dikategorikan sebagai demam biasa tetapi bila polemik H1N1 ini seperti gorengan bertih jagung, langkah waspada diambil lebih serius sehinggakan soal ibadat umum dihadkan atas nama keselamatan sejagat yang sebenarnya bertopengkan sikap malas dan biadap.

Surau dan masjid kelihatan sangat lengang walaupun selama ini telah lama lengang dengan bilangan jemaah. Hukum sunat solat berjemaah digantikan dengan harus. Solat Jumaat pula hanya pergi sekali sekala sahaja. Ini bukan omong kosong, tetapi pengalaman saya menghadapi situasi ini di salah sebuah perkampungan melayu-islam di Timur Semenanjung Malaysia. Jelas, ramai hanya takut mati awal daripada berbuat ibadah kerana akan mati. Yang lebih menjengkelkan, boleh pula melepak di warung dan kedai kopi, malah senang bermesra dengan keluarga dihalaman rumah saat khatib menyampaikan khutbah.

Sikap cintakan dunia, takutkan mati telah sebati dalam jiwa masyarakat kita. Melihat ujian daripada Tuhan ini sebagai satu ketidakadilan Tuhan dalam menimpakan musibah kepada manusia. Sedangkan dalam sedar, manusia terlalu rakus menodai nikmat pemberian dan megah melanggar syariat Allah. Begitulah kita, leka dalam nikmat dan hanya sedar apabila contengan ini terpalit pada wajah-wajah kita sendiri, hasil gelojoh tangan-tangan kita sendiri. Sesungguhnya Allah itu Maha Adil, tiada menghukum tanpa alasan, dan keadilan Allah itu tiada tandingannya, tanpa dapat dicapai oleh akal kita yang lemah. Maha Kasihnya Tuhan yang Maha Pengampun, menyedarkan kita kepada dunia yang akan hilang nanti dengan kematian. Tetapi berapa ramai yang menyedari hakikat ini. Kita sebenarnya lari daripada kematian tanpa ada persediaan amal soleh menempuh kematian.

Kesan kedua, dipamerkan dengan berlumbanya pengamal perubatan menipu masyarakat berkenaan ubat-ubatan yang diyakini dapat menyembuhkan pesakit H1N1. Sebagai bekas pelajar Sains, virus tidak dapat dimusnahkan dengan begitu mudah. Ia dapat berubah-ubah mengikut persekitaran dan kemandirian terhadap perubahan suhu serta kelembapan. Vaksin hanya dapat mengurangkan efek jangkitan dan bukan penyembuhan secara total. Sistem imuniti badan yang ditadbir oleh Pencipta yang Maha Berkuasa sahaja dapat menangkis serangan ini, samada secara total ataupun sebahagian, bergantung kepada takdir yang ditentukanNya.

Jika diukur dimensi antara liang topeng dan virus, nilai yang sangat ketara dapat diperhatikan. Dimensi virus yang hampir berskala nano jika dibandingkan dengan lubang pada topeng yang hanya seluas mili meter sahaja tidak dapat menghalang virus tersebut mejangkiti yang lain. Ditambah pula dengan medium jangkitan seperti udara dan sentuhan yang sukar untuk dielakkan menjadi faktor utama penularan wabak tersebut. Jelas disini, pemakaian topeng hanya cukup syarat bagi mereka yang dikhuatiri dijangkiti dan bukan kepada yang belum dijangkiti. Ianya pula seperti perlu seiring dengan pemakaian sarung tangan dan pakaian yang tidak berkongsi antara satu sama lain. Ini tidak lain mendatangkan keuntungan berganda kepada sesiapa yang suka menangguk di air yang keruh.

Sikap tamak dan pembohongan meruntuhkan nilai moral sesetengah muslim, apatah lagi diapikan oleh kepercayaan yang sesetengah yang lain terhadap kemujaraban penawar tersebut. Solat hajat dipandang sepi dan doa keselamatan diri yang menjadi senjata utama mukmin sejati diremehkan. Sikap ini secara tidak langsung meletak keyakinan kepada usaha manusia semata-mata tanpa sandaran pada kuasa Allah Taala.


Binalah imuniti Iman

Kehadiran Ramadhan kelak mendambakan sejuta pengharapan pada Tuhan dan sebaik-baik bulan bagi doa diperkenankanNya. Madrasah Al-Mubarak bukan sahaja menyediakan peluang ekonomi kepada umat manusia, tetapi hamparan luas buat pencinta Ramadhan menggunakan sebaik mungkin rahmat Allah, memperbanyakkan ibadah dan mendidik jiwa menjadi ikon mukmin yang sejati. Serangan wabak di bulan Ramadhan nanti diharapkan menjadi sentuhan keinsafan yang mendalam terhadap ketentuan Allah dalam menguji iman hamba-hambaNya.

Kematian adalah satu takdir. Usahlah meratapi berlebihan dan meletakkan punca tesebut kepada wabak semata-mata. Sehinggakan pemikiran telah di set, matinya bukan kerana ketentuan Allah Taala tetapi kerana serangan wabak tersebut. Tidak salah menjadikan punca kematian disebabkan wabak, seperti yang dinyatakan di atas, tetapi letaklah segalanya yang terjadi itu, prioritinya pada yang hak, iaitu Takdir.

Perbanyakkan solat hajat dan amalan sunat yang lain, disamping perkemaskan kewajipan ibadat fardhu. Dan sentiasalah berdoa agar iman terpelihara walaupun segunung musibah dan ujian yang melanda. Janganlah berputus asa pada Allah. Kerana ujianNya untuk mendidik jiwa-jiwa kita supaya lebih lembut dan dekat denganNya.

H1N1 tidak lain hanya sebuah ujian buat kita, bagi merungkai simpulan-simpulan kelam yang mengikat hati kita. Semoga penulisan saya yang tidak seberapa ini membuka mentaliti kita semua agar kembali kepada sebuah fundamental Islam yang sebenar. Sesungguhnya Allah mengilhamkan sukma kebaikan dan kefasikan kepada kita, hanya keteguhan iman sahaja mampu menyuluh kepada kebaikan dan memadamkan api kefasikan. Beruntunglah mereka yang terang kerananya, dan merugilah bagi yang terus menyalakannya. WaAllahu'alam

Mohd Izzuddin Mohd Zin
Aktivis SPAQ
19 Ogos 2009

p/s: dpt dr email...

0 comments: