Tahukah anda,
Allah mengiktiraf cinta selepas perkahwinan sebagai yang terbaik dan sumber
segala kesenangan dan kasih sayang.
Bagaimana tu?
Sebagaimana yang dinyatakan di
dalam Quran ayat 21 surah ar-Rum ini:
“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah bahawa Dia
menciptakan isteri-isteri bagimu dari kalangan kamu sendiri supaya kamu dapat
hidup tenang bersama mereka dan di adakan-Nya cinta kasih sayang antara kamu.
Sungguh, dalam yang demikian ada tanda-tanda bagi orang yang menggunakan
fikiran”.
Cinta selepas perkahwinan adalah
cinta yang diredai dan dituntut oleh ajaran Islam. Cinta seharusnya berputik
mekar selepas pasangan suami isteri itu mendapat mandat yang agung untuk
bercinta melalui ikatan yang sah dan diiktiraf oleh agama dan juga anggota
masyarakat.
Bagi menyuburkan cinta
selepas perkahwinan, maka pasangan suami isteri haruslah
menghormati hak-hak dan tanggungjawab kepada yang dicintai dengan penuh
kecintaan dan kasih sayang.
Antara cara-cara untuk
menyuburkan rasa cinta sebegitu adalah:
1. Membuktikan cinta melalui
ketaatan, kasih sayang, pengorbanan dan kesungguhan memuliakan pasangan dan
rumah tangga yang dibina.
Pasangan suami isteri hendaklah
sentiasa saling hormat-menghormati, menghargai perasaan dan tutur kata,
sentiasa mendoakan kesejahteraan keluarga dan berusaha memelihara amanah dan
janji yang dibuat.
2. Melahirkan zuriat sebagai
bukti cinta yang terjalin. Sekiranya ditakdirkan tidak mempunyai zuriat, suami
hendaklah bersabar dan tidak terburu-buru untuk berkahwin lain.
Seharusnya usaha dilipatkan
gandakan untuk mendapatkan zuriat baik secara tradisional mahupun secara
perubatan. Sekiranya tidak berhasil, bolehlah mengambil anak angkat sebagai
langkah alternatif.
3. Mengasihi dan menghormati ahli
keluarga pasangan suami isteri. Bagi mewujudkan keluarga yang harmonis,
perhubungan kedua-dua belah pihak hendaklah dijaga dan dipelihara sebaik
mungkin.
Sesekali, hadiah dapat dijadikan
penghubung kasih-sayang dan tidak lupa untuk bertanya khabar sekiranya tidak
berkesempatan untuk menziarahi keluarga yang jauh.
Salam Jumaat yang terakhir untuk tahun 2013....