Assalamualaikum semua,
dah tengok ke filem Ombak Rindu? ada kawan saya post kat FB kata dia dah tengok 4 kali. Hohoho...dasyat kan. Kalau dah tengok banyak kali memang best la kot. Dengar kata, ramai yang dah pi tengok. Menangis-nangis tak cukup tisu katanya. Dua tiga hari ni, saya ada terjumpa dengan beberapa orang dan mereka bercerita pasal filem Ombak Rindu ni. Siap boleh tanya, saya dah tengok ke belum. Hehehe...macam silap orang je tanya saya macam tu. Tak apa lah. Janji mereka bahagia ^_^
Kenapa saya tiba-tiba bercerita tentang Ombak Rindu ni? Ehm... dulu masa zaman sek men, novel Ombak Rindu memang popular. Saya sendiri ulang baca berkali-kali. Sangat suka Hariz walaupun dia tu agak jahat. Tapi bila dia baik, rasa macam dia sangat romantis kot. Sedih sangat untuk Izzah sebab menjadi mangsa keadaan. Tak suka pada Mila yang gedik. Dulu saya rasa novel ni adalah novel yang paling best yang pernah saya baca. Itu pandangan seorang yang masih berumur 14 tahun di kala "zaman Jahiliyyah". Tak silap saya, novel Ombak Rindu ada sambungannya. Hariz hilang ingatan, pastu Mila kawen dengan orang lain, dan tak ingat dah. Tapi yang pasti, keterujaan nak tau kisah Hariz dan Izzah memang tinggi. Tapi bila di filemkan, saya rasa biasa kot. Tambahan pula macam-macam kontroversi yang ada tentang filem ni. Saya tak nak cerita pasal kontroversi, tapi nak cerita pasal lain.
Saya tertarik dengan artikel akhbar Utusan tentang filem Ombak Rindu. Ia membuka persepktif saya tentang dunia filem dan penulisan. Jom baca, semoga ia menambah pengetahuan dan membuat kita lebih berfikir dan bijak menilai.
Ombak Rindu tragedi murahan
DALAM kebudayaan Barat, seni persembahan genre drama Greek menerapkan
unsur tragedi sebagai asas penciptaan karya seni persembahan atau
tulisan.
Merujuk karya ilmiah berjudul Makna Kebahagiaan dan Pengalamannya
dalam Islam oleh Prof Muhammad Naquib Al-Attas, Tokoh Melayu Terbilang
2011 merumuskan unsur tragedi bukan lagi wujud dalam bentuk seni, malah
ia wujud dalam pengalaman sebenar yang dialami oleh masyarakat Barat.
Menurut al-Attas, “Seakan-akan dalam pengalaman dan kesedaran itu
diada-adakan berterusan rasa bersalah-durhaka yang menghantui mereka,
yang diajarkan oleh agama sebagai dosa asal yang dilakukan bapa kepada
segala insan, yang telah tersilap langkah terpikat oleh peluang yang
disodori godaan si penghasut yang mahu menyaksikan kejatuhannya dari
rahmat Tuhan.”
Selanjutnya, kejatuhan bapa segala manusia ke lurah kehinaan sebagai
“Suatu sumpahan berterusan ke atas anak cucu dengan rundungan berterusan
menyebabkan mereka merasa bersalah dan sentiasa menyakiti hati dan
fikiran mereka sendiri sepanjang zaman.”
Selepas dibuang ke dunia, seperti pada babak pertengahan karya seni,
peranan mereka tetap “Bertelagah dan melakukan keganasan”. Tambah
al-Attas, “Ketagihan pada tragedi dan seni yang memperlakonkannya
sedemikian laku sehingga agama sekalipun terpaksa ditempa dalam acuan
tragedi.
Dunia bagaikan pentas besar di mana insan merekacipta, melakonkan dan
menyaksikan drama (lakonan) hidupnya sendiri demi menghasilkan kelegaan
diri mereka daripada rasa takut dan hiba akan kesengsaraan diri.”
(khatarsis).
Al-Attas merumuskan, “Tragedi bukan lagi suatu bentuk seni, kerana ia
telah memberi kesan nyata kepada kebudayaan dan kerohanian Barat pada
semua zaman.”
Lebih jauh lagi, fahaman humanisme dan sekularisme yang muncul pada
Zaman Pertengahan di Barat, “Beransur serempak dengan munculnya falsafah
dan sains sekular yang telah menjadikan tragedi menggantikan agama
sebagai jalan untuk memartabatkan keluhuran insan.”
Pengalaman tragedi dalam masyarakat Barat ini dijelaskan al-Attas
dalam pengalaman Barat terhadap golongan gereja dan golongan pendeta
Kristian yang sudah pastinya berbeza dengan pengalaman Islam.
Filem Ombak Rindu arahan Osman Ali bermula tragedi Ustazah Izzah
dihantar bapa saudaranya Taha kepada Kelvin, pemilik kelab malam sebagai
pelayan kelab dan pelacur sebelum dibeli oleh Hariz sebagai perempuan
simpanannya. Babak awal memaparkan alam yang indah dan disusuli Ustazah
Izzah membaca doa selesai membaca al Quran.
Di kelab malam, Ustazah Izzah dicengkam rahangnya oleh Kelvin dan
orang-orangnya lalu dituangkan arak ke dalam mulut Ustazah Izzah. Baju
kurung Ustazah Izzah dikoyak oleh Kelvin lalu pengsan. Apabila sedar,
Izzah melihat Hariz menanggalkan bajunya dan meratah tubuhnya dengan
mata nafsu haiwannya.
Ustazah Izzah bersikap “pasrah” untuk dirogol Hariz. Ustazah Izzah
memaut kaki Hariz merayu-rayu meminta agar dirinya dibeli oleh Hariz.
Ustazah Izzah diperlakukan sebagai wanita murahan, sehingga meminta
Hariz menjadikannya sebagai isteri, namun sanggup dinafikan hak-hak
sebagai isteri demi menikmati hubungan seks halal. Mereka menikah di
Selatan Siam.
Tragedi identiti dan nilai merujuk pada sifat zahir dan batin diri
sebagai watak penjahat yang dipenuhi nilai keji seperti khianat,
penipuan, pura-pura, munafik dan penonjolan sifat haiwan. Pernikahan
Hariz dan Izzah dirahsiakan daripada ibunya oleh Pak Dollah dan
isterinya. Mila sebagai selebriti yang baharu pulang dari luar negeri
bercakap rojak dan Datin Suffiah yang berambut warna mengerbang,
mendedahkan pangkal dada merupakan watak yang dicengkam tragedi identiti
dan nilai yang kronis.
Wafiah, sahabat Hariz tiba-tiba muncul memeluk Hariz kecewa akibat
cinta, merupakan watak tragedi nilai dan identiti. Taha juga mewakili
watak yang mengalami tragedi identiti dan nilai. Pak Dollah dan
isterinya sebagai watak manusia beragama yang pasif sekadar pembantu
rumah. Sehingga Pak Dollah muncul tiba-tiba menyatakan Hariz adalah anak
kandungnya kepada Datin Suffiah sebagai suatu bentuk tragedi identiti
dan nilai.
Kerangka
Berdasarkan hujah tersebut, nyatalah Ombak Rindu dibikin dalam
kerangka pengalaman Barat dengan penerapan unsur tragedi secara meluas.
Penonton sama ada sedar atau tidak disihir dengan tragedi untuk berasa
simpati kepada Ustazah Izzah. Walaupun ada babak Ustazah Izzah membaca
al-Quran dalam bilik diintai oleh Hariz semasa Ustazah Izzah masih
perempuan simpanan Hariz, namun itu bukanlah bukti kuat menunjukkan
Hariz bertaubat. Hariz hanya simpati pada Ustazah Izzah atas tabiat
kemanusiaan dan nafsu badaniah sahaja.
Tiada langsung babak memperlihatkan Hariz menunaikan ibadat hatta
solat. Agama hanya tempelan sahaja. Kemuncak cerita ini ialah pendedahan
tragedi Pak Dollah-Datuk Suffiah, tragedi penceraian Mila-Hariz.
Walaupun Hariz dan Ustazah Izzah menaiki kapal layar namun tiada babak
menunjukkan Hariz berubah menjadi baik kerana agama, melainkan perubahan
kerana simpati dan nafsu badaniah sahaja terhadap Ustazah Izzah.
Hal ini berbeza dengan pengalaman Islam dimana Adam a.s yang sedar
lalu memohon ampun dosanya biarpun terlontar ke dunia. Allah menjanjikan
kepada Adam a.s dan zuriatnya hidayat dan keselamatan bagi mereka yang
ikhlas melaksanakan agama Allah. Merajalelanya watak Datuk Suffiah,
ingkar dan kerasnya Mila dan ketiadaan babak Hariz pulang kepada Allah
membuktikan filem ini adalah filem tragedi murahan semata-mata.
Manakala citra agama menerusi Ustazah Izzah dalam keadaan terhina,
ketidakupayaan dan pasrah dalam lembah kehinaan. Agama pada Ustazah
Izzah hanya pada tudung, kenaifan, mengajar dan membaca al-Quran. Agama
pada Pak Dollah dan isterinya pada songkok dan pergi haji. Sampai bila
kita hendak menyaksikan watak Melayu pincang dan keliru? Bilakah kita
boleh berbangga pada filem kita yang mengangkat keunggulan identiti dan
nilai jatidiri kita?
Usah tertipu aspek teknikal filem seperti sinematografi, pencahayaan,
pengarahan dan lakonan sahaja, namun falsafahnya hancur mengaibkan
orang Melayu dan Islam.
p/s: mungkin kepada yang dah tengok ada perspektif berbeza tentang filem ni?