Adakah kita merindui Nabi Muhammad SAW setiap hari? Atau kita hanya merasa rindu ketika sambutan Maulid Nabi? Fikir-fikirkan.
Mari kita renungi sebuah kisah yang menunjukkan betapa baginda amat merindui kita; umat akhir zaman.
..................................................
Suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam  membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi  Saidina Abu Bakar.
Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.
Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai.
Wajahnya yang tenang berubah warna.
"Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini  saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan  teka-teki yang mula menyerabut fikiran.
"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi  bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.
"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula.
Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.
Kemudian  baginda bersuara, "Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku  tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasulullah dan mereka sangat  mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka  kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan  'ikhwan' baginda: "Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya  Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah.
Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, "Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.
"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah  umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan  semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman  denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku  tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.
"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu.
Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.
Sesungguhnya, kitalah golongan yang Rasulullah rindu nak jumpa tu. Betapa bertuahnya kita menjadi Umat Nabi Muhammad. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad S.A.W
 
 
No comments:
Post a Comment