Assalamualaikum semua,
Salam Jumaat yang penuh barakah. Hari ni, nak kongsi sesuatu tentang perempuan. Kaum hawa ni memang unik. Jadi bersabarlah dengan golongan ni. Sila baca sampai habis okey :)
Satu petang, Si suami yang baru pulang dari kerja, ingin memanjakan
isterinya, “Jom kita keluar, malam ni kita makan di kedai je lah”.
Sambut isterinya, “Eh nasi banyak lagi tu bang, gulaipun ada lagi tu.
Nanti membazir, siapa pula nak menghabiskan tu”. Kalau diikutkan
jawapannya itu seolah-olah membantah cadangan suaminya itu, tetapi
tindakannya berlainan. Si isteri masuk ke bilik terus menukar baju dan
membelitkan tudung di kepalanya di hadapan cermin di dalam bilik
tidurnya. Sambil menunggu isterinya, dia mencapai surat khabar yang
dibawa daripada pejabat tadi. Suaminya faham sangat. Kalau mulut isteri
membantah tetapi nampak bergegas menukar baju, maknanya dia setujulah
tu.
Setiba di gerai “char kue teow” yang biasa mereka singgah, adik
di gerai tu menghampiri mereka dan bertanya, “Pak Cik nak makan apa?”.
Pantas suaminya menjawab, “Char kue teow”. Ditegur isterinya, “Ish Abang
ni, mintalah yang lain pula, mee ke, bihun ke. Kan dulu dah makan char
kue teow ni”. Suami mula naik berang, “Menyusah je fikir-fikir, Abang
tengah lapar, nak makan char kue teow le, Awak nak yang lain, pesan je
la”. Muncung terus mulut si isteri mendengar arahan suaminya itu dan
lantas memesan bihun sop untuk dirinya.
Sedang mereka menjamu
selera, isterinya memecah kesunyian dengan bertanyakan satu soalan
menjerat, “Sedap ke char kue teow tu bang?”. Sambil kepalanya masih
tunduk menyedut lelehan kuah kue teow itu, suami membalas, “Sedap”.
Terus melicinkan char kue teow kegemarannya itu. Apabila isterinya
melihat piring suami telah licin, dia menegur dengan nada kecewa, “Awak
tu makan, bukan nak ingatkan saya”. Tergamam suami mendengarnya terus
membela diri, “Tadi tak cakap pun nak”. Sambut isterinya, “Dah cakap
tadi, abang buat tak faham je”. Dibalas suaminya untuk membela dan
membenarkan dirinya, “Mana Abang tahu awak nak rasa, kalau nak, pesan
lagi satu”. Suara masing-masing mula meninggi. Isteri merasakan suasana
romantik yang dia mula kecapi seawal suaminya mengajak makan di gerai
tadi telah hancur berkecai apabila suami tidak memahami kehendaknya
malam itu. Bagi Si suami pula, asalnya tadi keluar makan di luar untuk
membantu isteri merehatkan badannya supaya tidak susah-susah memasak di
rumah dan dengan harapan malam nanti dapatlah hadiah istemewa daripada
isterinya. Tetapi sekarang, telah bertukar menjadi medan peperangan
dingin dengan isterinya di meja char kue teow pula.
Mengapa perkara ini
boleh terjadi?
Kebiasaan wanita, apabila mereka berkomunikasi,
mereka menggunakan ungkapan yang tidak terus. Mereka menggunakan bahasa
berlapik, maksud terbalik dan berpusing-pusing sebagaimana peribahasa
Inggeris “beats around the bush”. Laporan ScienceDaily (Jan. 21, 2005)
berjudul “Intelligence In Men And Women Is A Gray And White Matter”
mengatakan binaan otak wanita yang memang telah diprogramkan memiliki
lebih “white matter” yang bertugas menghubungkaitkan sesuatu perkara
dengan yang lain hingga menyebabkan mereka pakar menggunakan pendekatan
‘komunikasi-bahasa-tidak terus’ ini. Bercakap adalah asas perhubungan
yang utama bagi wanita. Mereka menggunakan pendekatan ini untuk membina
jambatan perhubungan dengan orang lain untuk mengelakkan konfrantasi
secara terbuka, bersopan santun dan berbudi bahasa.
Wanita memang suka
menggunakan proses komunikasi cara ini untuk menyampaikan mesej terutama
sekali kepada orang yang dia sayangi. Bagi mereka, jika orang yang dia
sayangi ini memahami apa yang dia ungkapkan dengan tepat, maka orang itu
dilabelkan sebagai seorang yang romantik. Sebagai contoh kalau mereka
berdua sedang menaiki kereta dalam perjalanan yang jauh dan isterinya
berasa lapar. Pada masa itu mereka sedang melalui deretan kedai-kedai
makan. Terdapat beberapa ungkapan yang tidak terus yang wanita gunakan
untuk memberitahu suami yang mereka lapar. Mereka tidak sanggup
mengungkapkan perkataan, “Abang saya lapar, berhenti di kedai makan
depan itu sekarang”. Mereka akan menggunakan bahasa tidak terus seperti
berikut, “Abang tak lapar ke?”. Atau, “Dulu kita pernah makan di kedai
depan tu kan, sedap masakannya”. Atau, “Tomyam kedai di depan tu
sedapkan Abang”. Dan banyak lagi ungkapan-ungkapan yang kebanyakan
lelaki tidak faham. Maka suami yang romantik ialah apabila sahaja dia
mendengar isyarat ini, dia telah tahu bahawa isterinya sedang lapar dan
mahu makan. Tanpa bersoaljawab, dia terus sahaja membelokkan keretanya
ke halaman deretan kedai makan dan mencari pakir yang dekat dengan
restoren yang dia sebut tadi.
Namun kebanyakan lelaki tidak
faham dengan bahasa-tidak-terus ini. Minda lelaki yang memiliki lebih
sepuluh kali “grey matter” daripada wanita yang tugasnya hanya
memproses maklumat, kurang dapat mengaitkan ungkapan atau ayat-ayat yang
berlapik-lapik ini. Kefahamannya hanya bergantung kepada apa yang
diucapkan. Dia tidak pandai untuk mentafsirkan apa yang tersirat
daripada apa yang tersurat. Oleh itu, jika isterinya beri isyarat.
“Abang tak lapar ke?”, Dia akan jawab, “Tak lapar” dan meneruskan
pemanduannya. Kecewalah isteri ini dan suaminya ini akan dicopkan
sebagai tidak romantik.
Berbalik kita kepada kisah yang
mula-mula saya paparkan itu. Apabila isteri bertanyakan kepada suaminya,
“Sedap ke char kue teow tu bang?”. Ini bermaksud, “Abang, saya nak rasa
sikit char kue teow tu”. Dan sebaik-baiknya, tanpa soal jawab, suaminya
itu terus menukar piring char kue teownya dengan mangkuk bihun sop
isterinya. Selepas minum separuh, suami itu juga menukarkan gelas
minuman milo aisnya dengan minum isterinya. Suami yang berbuat demikian
dicopkan sebagai seorang yang romantik. Dia bukan hanya dipuji kerana
memahami kehendak isterinya, malah isteri juga puas kerana dapat merasai
dua jenis makanan dan minuman pada malam itu dengan harga yang dibayar
oleh seorang mengikut perkiraan wanita.
Berikut saya paparkan
sedikit daripada ungkapan bahasa-bahasa-tidak-terus yang boleh dijadikan
panduan kepada suami jika dia terdengar isterinya.
1. Bila suami
mengajak isterinya pergi ke sesuatu tempat dan isterinya menjawab,
“Tengoklah”. Besar kemungkinan maksudnya dia tidak mahu pergi.
2.
Bila suami isteri sedang berbincang untuk membeli atau memberikan
sesuatu kepada isteri, tetapi dalam perbincangan itu timbul pelbagai
masalah hingga isterinya seolah-olah mengalah, “Saya tak kisah”.
Sebenarnya apa yang dia maksudkan itu ialah dia kisah dan mahu juga
benda itu.
3. Bila suami pulang dari kerja dan sesampai di pintu,
isterinya menegur suaminya, “Abang letih eh”. Bagi suami yang tidak
faham, pasti akan menjawab apa yang dia rasai seperti, “Aa, letih”. Maka
kecewalah isterinya itu kerana maksud sebenar ialah dia hendak mengajak
suaminya keluar masa itu juga.
Mengapa orang lelaki tidak
faham bahasa perempuan ini ialah kerana kebiasaannya orang lelaki
berkomunikasi menggunakan ayat yang pendek, terus, tepat kepada
maksudnya dan penuh dengan fakta. Lelaki dengan watak kepimpinan dan
penguasaan sering menggunakan komunikasi ini untuk mendapatkan kuasa dan
sokongan daripada orang lain. Di dalam perniagaan, cara komunikasi
sebegini amat sesuai untuk membuat keputusan dan keberkesanan
perundingan dengan cepat. Tetapi kalau cara ini digunakan untuk
berkomunikasi dengan orang perempuan, ia dilihat sebagai kurang sopan
dan tidak beradab.
Oleh itu nasihat saya kepada suami yang ingin memahami bahasa terbalik isterinya ialah,
1. Bila isterinya bersuara, cuba dengar betul-betul ungkapannya dan
lihat juga air muka serta pandangan matanya. Pasti kita boleh memahami
maksudnya sama ada terus atau terbalik melalui tonasi dan bahasa
badannya.
2. Kalau suami masih merasai tidak faham maksudnya, cepatlah bertanya secara terus terang, “Apa maksud awak tadi?”.
3. Bila suami telah memahaminya, maka simpanlah ilmu dan kemahiran ini
untuk digunapakai masa depan apabila diucapkan oleh isterinya nanti.
Pastinya suami ini dilebelkan sebagai lelaki yang paling romantik.
4. Terimalah cara bahasa terbalik yang amat memeningkan kepala ini
sebagai tanda isteri masih sayang kepada kita. Kebiasaannya, isteri
tidak menggunakan kaedah ini kepada sesiapa sahaja yang dia tidak kenal
melainkan kepada orang yang dia sayangi dan teman sejenisnya
Kepada isteri pula,
1. Sebelum anda menggunakan bahasa berbahasa ini kepada suami, sila
lihat dulu keadaan suami anda. Jika dia dalam keadaan serius atau
kelihatan letih atau mengalami stres, jangan gunakan lagi pendekatan
ini. Dibimbangi, ketidakfahamannya nanti boleh menyebabkan jiwa panas
barannya mengganas.
2. Kalau keadaan suami kelihatan ceria dan
bersedia untuk bergurau senda, bolehlah anda bermanja-manja menggunakan
bahasa terbalik berpusing-pusing ini untuk menagih kehendak dan
keperluan anda. Kalau dia tidak faham juga, anda hendaklah dengan suara
manja menerangkan maksud sebenar. Jangan mengharapkan dia faham sendiri
kalau dia kelihatan tidak faham. Nanti anda juga yang kecewa.
Selamat mencuba.
Pak Utih
p/s: Wanita ni unik bukan? Sebagai orang dari bidang psikologi, saya sangat setuju apa yang di bicarakan oleh Pak Utih ni. Kadang-kadang nak tergelak jugak bila "bertembung" dengan situasi ni di sekeliling saya. Gaya cakap macam saya tak pernah "cakap terbalik" macam ni.
Bukannya apa, dalam satu2 situasi, bila ada orang dok cakap "terbalik" macam ni, bukankah sukar untuk buat keputusan. Contoh mudah la.
Soalan "nak makan kat mana ni?"
Jawapan "tak kisah la nak makan kat mana pun. Janji ada goreng2"
Dalam hati: Bukankah senang kalau cakap ja terus nak makan dekat Restoren XYZ, tak payah berkias ^_^
3 comments:
hehe...sy mengalami situasi yg sm..hehe...cuma pmpuan ni ble ckp cmtu tak perasan pun yg kte ni begitu..hehe
@Ruzanna Rahman
btul2. kdng2 dlm ati sy pun dok kata, straight to the point la.don't play around the bushes. tp bila mai part diri kita sendiri, kita pn sama mcm "typical" women lain :)
as a counselor, kita guna win win situation la. sy skrg ni, klu perlu, sy ckp direct trus. tp klu part peribadi, sy guna "bahasa pelik" tu jugak kadng2 :)
Kadang2 kena juga cakap 'berlapik' macam ni
Post a Comment