| 
 Guru kedua tumpu tugas sampinganOleh Lum Chee Honglumch@bharian.com.my
 2010/12/14
 
 
 Cadangan ringan tugas pendidik, jamin  keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran
 KUALA LUMPUR: Cadangan menempatkan guru pembantu dalam kelas melebihi 35  murid di sekolah rendah dan 40 murid di sekolah menengah mampu  mengurangkan beban tugas guru, sekali gus dapat keberkesanan proses  pengajaran dan pembelajaran (P&P).
 
 Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia  (NUTP), Lok Yim Peng, berkata antara lain guru pembantu boleh menumpukan  kepada tugas sampingan lain seperti perkeranian serta pengurusan  program teknologi maklumat dan komunikasi.
 
 Katanya, guru pembantu juga boleh berperanan membantu murid yang  menghadapi masalah seperti sakit atau demam ketika berada  dalam kelas.
 
 “Guru pembantu adalah cadangan yang baik, tetapi tidak boleh mengambil peranan sepenuhnya sebagai guru.
 “Guru pembantu boleh membantu guru di  bilik darjah, tetapi tugas mereka  tidak boleh bertindih, contohnya jika lebih tertumpu kepada tugas  perkeranian dan pengurusan program teknologi maklumat dan komunikasi,”  katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
 Beliau mengulas cadangan itu,  antara 28 perakuan dikemuka Jawatankuasa  Khas Menangani Isu Beban Tugas Guru 2010  dipengerusikan bekas Ketua  Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.
 Dalam laporannya, jawatankuasa itu mengenal pasti 14 faktor yang  menyumbang peningkatan beban tugas guru, termasuk terlalu banyak  penyertaan dalam  kokurikulum dan sukan sehingga menjejaskan prestasi  pengajaran murid serta amalan profesional keguruan.
 Yim Peng turut mencadangkan Kementerian Pelajaran supaya melantik  jurulatih kokurikulum atau sukan bertauliah secara kontrak ke jawatan  tetap selepas mereka berkhidmat dalam tempoh tertentu.
 Sementara itu, Presiden Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat  (KGMMB), Mohamed Sabri Mohd Arsad, berkata pelaksanaan dua guru satu  kelas dapat memberi faedah kepada murid kerana mudah untuk mengawasi  mereka.
 Katanya, guru boleh memberi tumpuan terhadap proses P&P, manakala  guru pembantu berperanan memastikan proses berkenaan berjalan lancar di  dalam bilik darjah.
 “Justeru, guru pembantu perlu memiliki kelayakan Kursus Khas Perguruan,  Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI), Diploma Pendidikan atau  mengambil mereka  kalangan guru sandaran tak terlatih (GSTT) bagi  memenuhi keperluan terbabit,” katanya.
 | 
No comments:
Post a Comment